Ini adalah perbualan kelmarin, atau 5hari lepas yang sudah sedikit luput dari memori. Maafkan aku, ya.
Pada saat malam menyalin warnanya dihadapan mata kita, bulan tak tumpah seperti matari yang mengurai jalinan benang-benang masa, menjadikan dimensi kita lebih renggang, sunyi dan panjang.
Surat-surat untuk masa hadapan yang ditulisnya dulu ditilik semula. Tidak seperti 9 dan 7 tahun lepas ketika segala hasratnya yang diutus oleh masa lalu tertunai. Surat kali ini hampir sahaja ingin dikeronyok, kalau tidak kerana dia menegahnya.
5 tahun sudah berlalu meninggalkan jejak pada lorong taqdir yang teramat makhfi di lembah ilmu Tuhan.
Aku masih terlantar dalam daerah ini.melakon watak icarus, ahasveros dan sisyphus, sesekali berpura-pura menjadi ahmad atau muhammad.
Ingin terbang melangit tinggi terbakar dek mentari, ingin merasa bara cinta dipanggang pula menjadi rangka, ingin kepuncak membina istana tergolek jatuh ke garis mula semula.
Dan kau masih tersenyum memberi harap untuk memimpin tanganku ke arah cinta.
Kata dia, bukanlah seseorang itu tidak mencintai kita jika luahan cintanya tidak seperti yang kita harapkan.
Khali, berjeda.
Surat yang ditulis 5 tahun yang telah kujanji membukanya pada saat hari ketemu gadis disebalik pintu, kuutuskan semula pada taqdir.
Agar masa datang menyempurnakan segala yang tak tertunai.
Pesan dia,
Masa kita kian suntuk, ingatlah megahnya kota kenangan yang kita bina dahulu. Kerna Tuhan tidak akan mengembalikannya lagi.
Jika kita masih khali dalam bicara dan lumpuh anggota.
Bangkitlah, jangan jadi siput tempang bercengkerangkan kura-kura!
....
Dan kami mulakan pagi itu dengan ketawa.
No comments:
Post a Comment